Friday, August 7, 2009

Solat Jiwa Tuan : apa itu solat bagi kita sebenarnya?? ( most read ever )



Solat Jiwa Tuan
“Adakah kamu tahu mengapa umat Islam sekarang susah nak khusyuk dalam solat?”
Senyap. Atau mak selalu kata, sengap.
“Sebab umat Islam sekarang solat dengan jiwa tuan”

Apakah yang dimaksudkan dengan solat dengan jiwa tuan?





Dari Aspek Waktu.
Dalam surah Taha ayat 14 Allah berfirman, “Dan tegakkanlah solat untuk berzikir kepadaku.” Jelas sekali, solat adalah satu manifestasi perhambaan kita kepada Al-Khaliq. Solat adalah medan latihan untuk membuang daki-daki dosa, mencantas perasaan ujub, takbur, riya’ dan sebagainya. Solat adalah tunas berpupuknya keikhlasan. Bak kata seorang Imam terkenal, solat ini ada tiga keistimewaan iaitu; khusyuk, ikhlas dan zikrullah.




Dalam surah An-Nisak ayat 103, Allah taala berfirman,

“Sesungguhnya solat adalah satu ketetapan berwaktu yang diwajibkan ke atas orang-orang mukmin.”

Solatlah yang membentuk kehidupan manusia. Dari solat, terbinalah sahsiah yang cemerlang dan efisien. Rasanya sudah banyak orang memperkatakan khasiat solat dalam pembentukan jati diri Muslim. Masih saya ingat ketika saya mengiringi lawatan Prof Khoo Kay Kim dan Karam Singh Walia di Dublin. Karam Singh Walia berkata, “Saya tak faham betul kenapa orang lain nak haramkan azan. Saya jadi efisien sebab azanlah. Bila azan subuh, saya bangun. Bila azan zuhur saya tahu itu rehat kerja. Bila azan asar saya tahu pulang. Bila azan maghrib dan isyak saya tahu ini masanya di rumah”. Orang bukan Islam pun terurus dengan ketetapan solat.
Tetapi apa jadi dengan umat Islam sekarang adalah, urusan dunia yang membentuk solat kita. Terbalik kot kata orang. Contohnya, kalau A duduk di rumah, solat di awal waktu. Bila A keluar membeli belah, solat lewat sikit bila habis shopping. Kalau B seorang bilal, lamalah solatnya, kalau B seorang bussinessman yang sibuk lagi korporat, singkatlah solatnya. Eh, kita pula yang membentuk solat yang disyariatkan pada kita. Ini baru dari sudut waktu solat. Astaghfirullah…
Bertanya Imam Ghazali kepada muridnya: Apa
yang paling ringan di dunia ini?
Murid 1: Kapas
Murid 2: Angin
Murid 3: Debu
Murid 4: Daun-daun
Imam Ghazali: Semua jawapan kamu itu benar,
tapi yang paling ringan sekali didunia ini adalah MENINGGALKAN SOLAT. Gara-gara pekerjaan kita atau urusan dunia, kita tinggalkan solat.
“Maka datanglah selepas mereka pengganti (yang keji)
yang mensia-siakan solat mereka serta mengikut hawa nafsu, maka kelak mereka akan menemui kesesatan..” [Maryam:59]
Berhubung ayat ini Abdullah ibn Abbas berkata,
“Maksud ‘mensia-siakan solat’ bukanlah meninggalkan solat sama sekali, tetapi melewatkannya dari waktunya”.
Imam Said ibn Al-Musayyab juga berkata,
“Mereka melaksanakan solat zuhur dalam waktu asar, solat asar dalam waktu maghrib, solat maghrib dalam waktu isyak, solat isyak ditangguhkan sehingga masuk waktu subuh dan solat subuh dilaksanakan selepas matahari terbit. Sesiapa yang mati dalam keadaan ini tanpa bertaubat, dia akan dihumban masuk ke dalam sebuah lembah yang bernama ghay di dalam neraka dan diberikan makanan yang teramat jijik..”
Dari Riwayat Bukhari dan Muslim, sahabat Abdullah ibn Masud pernah bertanya kepada nabi,
“Apakah amalan yang paling Allah sukai?” Baginda menjawab, “Solat tepat pada waktunya.” Abdullah ibn Masud bertanya lagi, “Kemudian apa?” Baginda menjawab, “Melakukan kebaikan kepada kedua-dua ibu bapa.” Abdullah bertanya lagi, “Kemudian apa?” Nabi menjawab, “Jihad kerana agama Allah.”
Dari Aspek ‘Roh’.

Dalam surah Al-Mukminun ayat 1, 2 dan 9 Allah mengingatkan,
“Sesungguhnya telah berjayalah orang-orang yang beriman. (Iaitu) mereka yang khusyuk dalam solat mereka…. Dan mereka yang memelihara solat-solat mereka.”
Khusyuk, memang bukan mudah. Hawa nafsu sentiasa melayarkan skrin di mata kita dengan ingatan-ingatan pada hal keduniaan. Tambah pula, dengan kesibukan kita pada kerja, solat yang asalnya agenda menyembah Allah serta zikrullah telah menjadi agenda mengingat
kunci di mana, siapa tah nama makwe yang senyum tadi dan sebagainya. Dalam solat, hal kita lebih banyak berlegar di minda dari hal akhirat. Ya Allah…kita ni…
Dalam buku Khusyuk Dalam Solat, Tuan Guru Nik Aziz iaitu sifu hal ehwal tazkiyatun nafs tanah air telah menghuraikan bagaimana takbiratul ihram adalah saat kita tinggalkan dunia dan buangkan ia jauh-jauh. Solat adalah urusan akhirat maka tidak layak satu punurusan dunia difikirkan di dalamnya. Dan apabila membaca Al Fatihah, sewajarnya kita merasa lebih hina apabila kita membaca
إِيَّاكَ نَعْبُ دُ وإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ
KepadaMu aku menyembah dan kepadaMu aku meminta pertolongan.
Mmm…siapa yang layak berasa tuan di sini. Sudah tentulah Allah bukan ? Satu perumpamaan, air dan cuka. Air dan cuka tidak boleh bersatu di dalam gelas. Maka, untuk mengeluarkan cuka, air yang banyak mesti dimasukkan bagi mengeluarkan cuka. Begitulah juga di sini. Kuncinya adalah kesungguhan dan mengelakkan hati dari segala godaan dunia yang akan terbawa dalam solat; menjaga pandangan dan sebagainya.
“Mereka yang tidak menghadirkan hati ketika melakukan solat, solat mereka akan mencepatkan mereka kepada seksaan Allah”.
Kata-kata Imam al Hassan tadi sepatutnya mengingatkan kita akan azab Allah pada manusia yang lalai dalam solat. Seperti firman Allah dalam surah al Maun,yang bermaksud orang yang lalai dalam solat adalah orang yang mendustakan agamanya.
Lagi perihal khusyuk…
Said Hawwa menyebut dalam kitabnya,
Pada suatu hari Rasulullah ternampak seorang lelaki menyapu janggutnya ketika solat maka baginda pun bersabda,
“Jika khusyuk hati lelaki ini akan tenanglah anggota badannya.”
Ada sahabat nabi yang siap tak sedar lagi ditikam pedang di medan perang, kerana khusyuknya beliau di dalam solat. SubhanAllah…
Berkata pula Imam Al-Alusi, “Khusyuk ialah merendahkan diri dengan perasaan takut di samping tenang anggota badan.”
Abdullah ibn Abbas berkata,
“Mereka yang khusyuk ialah mereka yang takut lagi tenang.” Sahabat Ali bin Abi Talib berkata, “(Khusyuk) tempatnya ialah di hati.” Imam Hasan Al-Basri pula berkata, “Tempat bagi khusyuk ialah di hati dan kemudiannya ia mempengaruhi dan mengawal pandangan mata serta menenangkan anggota badan.”
Pandangan yang agak merangkumi tentang khusyuk ialah pandangan sahabat Abu Darda’. Beliau berkata, “(Khusyuk) ialah pengagungan terhadap Tuhan, keikhlasan dalam perkataan, kesempurnaan dalam keyakinan, memberikan sepenuh perhatian dan tidak berpaling ke kiri dan kanan kerana ia adalah dari syaitan.”
Memang jelas, khusyuk bukanlah satu kelazatan yang senang-senang diperoleh, masakan ia lazat kalau senang-senang didapatinya. Namun, Allah adalah kuncinya di saat sukar. Berdoalah kita
“Ya Allah, aku berlindung dengan-Mu daripada ilmu yang tidak bermanfaat, dari hati yang tidak khusyu’, dari nafsu yang tidak pernah kenyang (puas), dari doa yang tidak didengari (tidak dipeduli)”
Marilah kita bersama-sama bermujahadah (bersungguh-sungguh) dalam melaksanakan solat sebagai seorang hamba yang menyembah Tuhannya, bukan sekadar seorang hamba yang berperasaan tuan kepada ibadahnya. Oleh kerana solat adalah urusan pertama yang akan
ditanya di hari perhitungan kelak, maka adalah satu urgency untuk kita lekas-lekas menginsafi dan memperbaiki solat kita, semakin baik semakin hari dan beristiqamah dengannya.
Moga-moga perkongsian kali ini bermanfaat amin!
Solat adalah kunci mendamaikan hati sehinggakan nabi pernah berkata,
“Ba
ngunlah wahai Bilal (untuk azan) dan rehatkanlah kami dengan solat.”
Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Ahmad. Justeru di sisi nabi, solat diumpamakan seperti kekasih hati. Wah….
Huzaifah bin Yaman berkata,
“Perkara pertama yang akan luput dari agamamu ialah khusyuk dan akhirnya yang akan luput darimu ialah solat. Ikatan Islam akan terungkai satu demi satu.”

Wallahu’alam


2 comments:

Shazwani Mazuki said...

Salam Ramadhan..
solat..amal pertama yg akan dihisab ialah solat..jika baik solat kita,maka baiklah amal kita.insyaAllah..

post yg sgt bermakna..
mohon copy ye..

muhdsyafiq said...

hmm...makin mantap penulisan anak-anak usrahku...mengalahkan naqibnya sendiri yg tak terupdate blognya....bagus...keep up the good work...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...